Friday, October 1, 2010

Kecerdasan Emosi

1.0 KONSEP KECERDASAN EMOSI
Kecerdasan emosi merupakan salah satu elemen penting dalam kehidupan. Emosi merupakan perkataan bersala dari perkataan Greek iaitu “emovere” yang bermaksud untuk keluar. Emosi bermaksud satu keadaan yang dialami oleh seseorang manusia yang melibatkan beberapa perubahan proses fisiologi, diri dan psikologi. Perubahan ini melibatkan komunikasi emosi seperti ekspresi muka, perkataan, isyarat dan tingkah laku lain yang diperlihatkan oleh seseorang itu. Kecerdasan emosi pula bermaksud kebolehan seseorang untuk mengawal emosinya, mampu memotivasikan dirinya serta memiliki empati.
Menurut John Mayer dan Peter Salovey ( 1997 ), kecerdasan emosi didefinisikan sebagai keupayaan untuk mengawal perasaan dan emosi diri sendiri dan orang lain, membezakan antara mereka serta menggunakan maklumat tersebut untuk memimpin tindakan dan pemikiran seseorang itu. Menurut Golemen dalam bukunya (Emotional Intelligence: Why It Can Matter More Than IQ , 1996 ), kecerdasan emosi mempunyai empat elemen utama iaitu kesedaran tentang diri, keupayaan untuk mengurus diri, kesedaran sosial dan kemahiran untuk bermasyarakat. Dari sudut pandangan Murrey pula, kecerdasan emosi bermaksud satu kebolehan untuk mengekang perasaan atau emosi negatif serta memfokuskan kepada emosi positif.
Peter Salovey ( dalam Murid dan Alam Belajar, Mok Soon Sang, 2008 ) mengatakan juga bahawa kecerdasan emosi bermaksud memiliki kebolehan memahami emosi diri sendiri, mengurus emosinya, memotivasikan diri sendiri, membaca emosi orang lain dan juga kebolehan untuk menguruskan hubungan. Patton (1998) mengemukakan kecerdasan emosi sebagai kemampuan untuk mengetahui emosi secara efektif guna mencapai tujuan, dan membangun hubungan yang produktif dan dapat meraih keberhasilan.
Sebagai rumusan, dapat disimpulkan bahawa kecerdasan emosi bermaksud kobolehan seseorang untuk mengawal emosinya sendiri serta memahami emosi orang lain.




2.0 KEPENTINGAN KECERDASAN EMOSI
Kepentingan kecerdasan emosi boleh dibahagikan kepada kepentingan dari aspek
sosial, pendidikan serta kepimpinan. Goleman ( 1995, 1998 ) mengatakan bahawa kecerdasan emosi mampu membawa kepada kejayaan sama ada di rumah, sekolah atau pun tempat kerja.Dari aspek sosial, kecerdasan emosi penting bagi membolehkan hubungan sosial di antara seseorang individu dengan individu yang lain boleh berlaku dengan baik. Memiliki kecerdasan emosi yang tinggi membantu individu untuk mengawal emosinya serta membantu mengurus perasaan negatif yang menghalangnya daripada menjalinkan persahabatan dengan orang lain.

Kecerdasan emosi juga amat penting dalam aspek kepimpinan. Menurut Gardner dan Stough ( 1983 ), kecerdasan emosi memainkan peranan penting bukan sahaja dalam proses penglibatan bahkan juga dalam proses kepimpinan. Menurut George pula, kecerdasan emosi dapat mengembangkan matlamat kolektif, penerapan idea dalam pemikiran secara perlahan-lahan, pembinaan dan peningkatan keyakinan dan semangat kerjasama. Melalui pendapat daripada beberapa orang tokoh, dapat dibuktikan bahawa kecerdasan emosi penting dalam aspek kepimpinan. Sebagai contoh, seorang pengurus di tempat kerja perlu memiliki ciri kepimpinan yang boleh membantunya mengawal pekerja di bawahnya. Dengan memiliki kecerdasan emosi yang tinggi, pengurus tersebut akan tahu bagaimana untuk mengurus dan mengawal perasaannya dan juga orang lain yang bekerja bersamanya di samping memberikan dorongan positif ke arah mewujudkan satu perhubungan yang mampu membawa kepada kejayaan dalam mencapai matlamat pekerjaan. Selain itu, dengan adanya kecerdasan emosi, pengurus tersebut tahu untuk mengawal emosinya dan tidak membawa masalah peribadinya ke tempat kerja dan tidak melepaskan kemarahannya kepada orang bawahannya.
Dari aspek pendidikan pula, kecerdasan emosi merupakan salah satu perkara yang penting dalam mencapai kejayaan. Dengan memiliki kemampuan untuk mengawal emosi, apabila seorang pelajar mengalami kegagalan dalam pelajaran, dia akan mampu mengawal keadaan dirinya secara positif dengan memotivasikan dirinya sendiri serta menganalisis kelemahan dirinya sendiri. Selain itu, apabila pelajar memiliki kecerdasan emosi yang tinggi, dia akan mampu untuk mengasingkan masalah peribadi yang dihadapinya denga pelajaran. Ini kerana, melalui apa yang dapat dilihat pada masa kini, terdapat pelajar yang memiliki masalah keluarga sehingga masalah tersebut mempengaruhi pelajarannya sehingga membawa kepada kegagalan. Dengan memiliki kecerdasan emosi, ia dapat membantu pelajar tersebut untuk mengawal emosinya serta pelajarannya tidak terpengaruh dengan masalah yang dihadapi.

Sebagai kesimpulan, kecerdasan emosi penting dari aspek social, kepimpinan serta pendidikan. Ia penting bagi membantu seseorang individu mencapai kejayaan serta memperbaiki hubungannya dengan orang lain.

























3.0 PERBANDINGAN KECERDASAN EMOSI DAN KECERDASAN INTELEK

Goleman ( 1995 ) menyatakan dalam bukunya bahawa 20 % merupakan IQ dan 80 % merupakan faktor yang lain dalam mencapai kejayaan dalam hidup. Menurutnya, kecerdasan emosi memiliki peranan yang lebih penting dalam mencapai kejayaan dalam hidup.
Kecerdasan intelektual meliputi bidang penggunaan bahasa, penaakulan, daya ingatan, kemampuan persepsi, kecekapan dalam hubungan ruang, kemampuan mengira, penerimaan akal serta kemampuan lisan. Kecerdasan emosi boleh disama ertikan dengan kecerdikan. Kecerdikan manusia berbeza di antara satu dengan yang lain. Kecerdasan otak manusia berubah mengikut peredaran masa tetapi pada keseluruhannya, ia stabil sepanjang hayat. Kecerdikan seseorang mampu ditingkatkan dengan memperbanyakkan usaha melalui keupayaan memikir secara lebih matang, waras, cepat dan tepat dengan menjawab dan menyelesaikan pemasalahan ujian IQ ( IQ Anda, Tajuddin M.S, 1987).
Gardner (1999) telah mengklasifikasikan tujuh jenis kecerdasan intelek yang
mungkin terdapat pada seseorang individu. Tujuh jenis kecerdasan intelek ini juga lebih dikenali sebagai “Multiple Intelligence ” atau MI. MI terdiri daripada kecerdasan verbal atau linguistik, matematik atau logik, spatial atau ruang, jasmani atau kinestetik, muzik atau irama, interpersonal dan intrapersonal. Disebabkan oleh faktor inilah yang menyebabkan kebolehan yang dimiliki oleh setiap individu itu adalah berbeza antara satu sama lain.












Aspek perbandingan Kecerdasan emosi Kecerdasan intelek
Definisi Keupayaan untuk mengawal emosi sendiri serta memahami emosi orang lain Kecerdikan dalam bidang-bidang IQ
Cara meningkatkan Peka dengan emosi sendiri, memotivasikan orang lain, mendengar masalah orang lain dan cuba memahami emosinya. Memperbanyakkan usaha berfikir serta mendalami jenis kecerdasan intelek

Sebagai kesimpulannya, kecerdasan emosi dan intelek berbeza dengan dari aspek definisi dan juga cara meningkatkan. Kedua-dua kecerdasan ini penting dalam mendapatkan kejayaan dalam hidup.

















4.0 CARA MENINGKATKAN EIC
Tahap kecerdasan emosi yang tinggi dapat dicapai melalui perhubungan mesra, bertindak tidak mengikut perasaan, menghormati orang lain serta menyedari bahawa setiap insan mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. menurut McGravey ( 1997), beliau menyatakan terdapat kebolehan yang harus dimiliki untuk meningkatkan kecerdasan emosi seseorang individu, iaitu kebolehan untuk mengawal dorongan, emosi, serta berada dalam keadaan bermotivasi walaupun menghadapi kekecewaan dan berempati dengan orang lain.
Antara langkah lain adalah dengan menyedari emosi sendiri. Ramai orang yidak memahami emosi sendiri dan tidak mahu mengakui emosi sendiri sehingga mereka mengalami tekanan dalam hidup serta mengatasinya dengan cara yang negative iaitu meminum arak atau mengambil dadah. Penting untuk seseorang individu untuk menyedari bahawa perasaan tertekan merupakan perkara yang akan pernah dirasai oleh semua orang. Oleh itu, seseorang individu perlu memahami emosi dirinya sendiri iaitu dengan cara memulakan serta mengakhiri setiap hari dengan meluangkan sedikit waktu untuk mengenalpasti emosi diri dan bagaimana ia mempengaruhi tindakan serta pemikiran. Dengan cara ini, kecerdasan emosi akan dapat ditingkatkan lagi.
Selain itu, kecerdasan emosi dapat ditingkatkan lagi dengan menjadi pendengar kepada masalah orang lain apabila diperlukan. Ini termasuk menjadi e,pati, diam dan tidak mencelah ketika mendengar luahan orang lain, serta menunjukkan perhatian apabila orang lain meluah. Kecerdasan emosi mampu ditingkatkan dengan cara ini kerana individu tersebut mempelajari lebih daripada orang lain melalui lisan. Dengan menjadi pendengar masalah, individu tersebut akan memahami emosi yang tersembunyi dalam diri orang tersebut.
Sebagai kesimpulannya, kecerdasan emosi ini mampu ditingkatkan dengan memahami emosi diri sendiri dan orang lain, menghormati orang lain serta menjadi pendengar kepada masalah orang lain.






5.0 IMPLIKASI KECERDASAN EMOSI DALAM MENANGANI ISU KEHIDUPAN SOSIAL

Kecerdasan emosi memberikan implikasi yang positif terhadap seseorang individu dalam menangani isu kehidupan sosial. Dari sudut seorang pelajar, kecerdasan emosi membolehkannya mendapatkan kejayaan dalam pelajaran. Ini kerana dengan adanya kecerdasan emosi, pelajar tersebut dapat mengawal emosinya serta mampu mengatasi tekanan kerana masalah yang dihadapi. Kadang-kadang, berlakunya perkara apabila seorang pelajar kecewa kerana keputusannya rendah berbanding rakannya sehingga kehilangan semangat untuk berusaha dan menganggap dirinya tidak pandai. Dalam situasi seperti inilah perlunya kecerdasan emosi bagi membantu pelajar tersebut menghadapi tekanan tersebut secara positif dengan menyedari kelemahan dirinya dan memperbaiki kelemahan tersebut sterusnya menanamkan semangat dalam diri untuk meningkatkan lagi prestasinya.
Dari sudut seorang individu yang bekerja juga, kecerdasan emosi memberikan impak yang positif. Ini kerana dengan adanya kecerdasan emosi yang tinggi, setiap kali berlakunya persaingan dalam dunia pekerjaan, perkara tersebut dapat dinilai dari sudut positif oleh individu tersebut dan menganggapnya sebagai tangga untuk menuju kejayaan. Selain itu, dengan kecerdasan emosi, individu tersebut tahu bagaimana untuk mengurus dan mengawal perasaannya dan juga orang lain yang bekerja bersamanya. Kecerdasan emosi sememangnya memberikan impak yang baik di tempat kerja kerana kajian yang dijalankan oleh Martinez, 1997 Kirch, Tucker, pada tahun 2001 telah membuktikan bahawa 80% daripada yang berjaya di tempat kerja adalah bergantung terhadap kecerdasan emosi manakala hanya 20% yang berjaya kerana kecerdasan intelek. Perkara ini sekaligus membuktikan bahawa individu yang memiliki kecerdasan emosi yang tinggi mampu menyesuaikan diri dengan persaingan, persekitaran kerja serta pekerjaannya.
Dari sudut individu yang berkeluarga dan merupakan ketua keluarga pula, kecerdasan emosi memberi implikasi yang baik terhadap perhubungannya dengan ahli keluarganya. Sebagai seorang individu yang bekerja serta memiliki keluarga, memiliki kecerdasan emosi membantunya mengasingkan masalah di tempat kerja dengan rumah.
Sebagai kesimpulan, kompetensi kecerdasan emosi memberi implikasi yang positif dalam aspek kehidupan sama ada dari segi kekeluargaan, organisasi, sekolah, masyarakat serta Negara.































RUJUKAN

BUKU
M.S, T. (1987). IQ Anda. Seremban, Negeri Sembilan: Minerva Publications.
Sang, M. S. (2008). Murid Dan Alam Belajar. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn.Bhd.
Sang, M. S. (2008). P.T.K Kompetensi Umum : Teras. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Sang, M. S. (2009). P.T.K Kompetensi Umum Untuk Pegawai Perkhidmatan Kerajaan. Selangor: Multimedia-Es Resources Sdn. Bhd.
Shahizan, T. C. (2006). Intrapersonal & Interpersonal Untuk Remaja. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
INTERNET
Cara Meningkatkan Kecerdasan Emosi. (n.d.). Retrieved September 14, 2010, from http://ilmupsikologi.wordpress.com/2009/12/15/cara-meningkatkan-kecerdasan-emosi-eq/
IQ dan EQ sama penting. (n.d.). Retrieved September 14, 2010, from http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=0325&pub=Kosmo&sec=Akademi&pg=ak_02.htm
Kepentingan Kecerdasan Emosi. (n.d.). Retrieved September 14, 2010, from http://adamayu.blogspot.com/2010/03/kepentingan-kecerdasan-emosi-eq.html

No comments:

Rakan Blogger